Wednesday, December 4, 2013

Konvokesyen



Apa itu konvokesyen atau sering disebut konvo? Konvokesyen adalah sebuah majlis penganugerahan ijazah kepada para pelajar universiti. Majlis ini biasanya dilakukan secara besar-besaran dengan meriah sekali.

Majlis ini sebenarnya bertujuan untuk meraikan kejayaan para pelajar yang telah bertungkus-lumus sepanjang pengajian mereka demi mendapatkan segulung ijazah. Bagi pendapat saya, majlis konvokesyen ini boleh dilihat dari sudut positif dan negatifnya.

Dari sudut positifnya, majlis tersebut dijalankan dengan besar-besaran agar para pelajar berasa dihargai dan ia dapat menjadikan kenangan yang terindah dalam hidup pelajar tersebut. Di samping itu, keluarga juga dapat merasai keseronokan majlis tersebut.

Dari sudut negatifnya, majlis yang dilaksanakan secara besar-besaran ini memakan perbelanjaan yang amat besar. Bagi saya, ianya adalah satu pembaziran. Tidak perlulah menjemput artis-artis popular bagi mengadakan konsert pada hampir setiap malam sepanjang majlis tersebut berlangsung. Cukup sekadar menjemput beberapa orang artis bagi memeriahkan majlis perasmian dan penutupan pesta konvo tersebut.

Majlis ini sangat perlu dilakukan untuk meraikan kejayaan para pelajar, cuma ianya perlu berpada-pada agar tidak berlakunya pembaziran wang.

Wednesday, November 13, 2013

CINTA

Cinta. Apa yang dimaksudkan dengan cinta? Setiap individu mempunyai tafsiran yang tersendiri mengenai cinta. Cinta itu boleh disandarkan kepada sesiapa termasuklah manusia, ilmu, pencipta dan sebagainya. 

Sebagai makhluk yang digelar manusia, perasaan cinta itu memang wujud di dalam diri kita. Hal ini kerana naluri manusia itu yang mahu hidup berpasang-pasangan. Naluri manusia yang ingin disayangi dan menyayangi. Cinta itu sememangnya indah. Namun, cinta itu juga boleh membinasakan. Janganlah terlampau mencintai seseorang sehingga maruah diri tergadai dan nama baik tercemar.

Bagi pendapat saya, cinta yang kekal buat selamanya adalah cinta kepada pencipta yang satu. Janganlah kita mencintai seseorang melebihi cinta kepada-Nya. Dia yang satu yang wajib disembah dan ditaati. Keindahan cinta kepada Allah melebihi segala-galanya. Apabila kita mencintai Allah, hati kita akan sentiasa berasa tenang, damai dan bahagia. 

Akhir kata, hayati, fahami, dan amalkan doa di bawah ini. semoga Allah akan memberkati kita sebagai hamba-Nya.

"(Ya Allah) aku memohon kepada-Mu kecintaan kepada-Mu, kecintaan kepada orang-orang yang mencintai-Mu dan kecintaan kepada amal perbuatan yang mendekatkan diriku kepada kecintaan kepada-Mu”

Wednesday, October 2, 2013

Kenaikan harga minyak

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak RM 0.20. Situasi ini banyak memberikan kesan kepada pengguna. Dengan naiknya harga minyak, maka naiklah juga perbelanjaan rakyat Malaysia. 

Sekiranya harga minyak meningkat, harga barang terutamanya barang makanan turut akan meningkat. Ini akan membebankan pengguna terutamanya pengguna yang berpendapatan rendah.Mereka dibebankan dengan harga minyak yang semakin meningkat, ditambah pula dengan kenaikan harga barang yang lain.

Selain itu, kenaikan harga minyak ini juga memberi kesan kepada pelajar universiti terutama pelajar yang membawa kenderaan sendiri untuk ke kelas. Mereka perlu membayar yuran, membeli buku-buku rujukan dan perbelanjaan makan.Kini, mereka dibebankan pula dengan harga minyak yang semakin mahal. Begitu juga bagi pelajar yang menaiki bas atau teksi untuk ke kampus. Mereka dibebani pula dengan harga tambang bas dan teksi yang turut meningkat disebabkan keperluan terhadap bahan bakar ini.

Rakyat yang berpendapatan rendah merupakan pengguna yang amat terbeban akibat kenaikan harga minyak ini.Pendapatan mereka adalah rendah. Mereka perlu menyediakan perbelanjaan anak-anak, membeli barangan keperluan, membayar bil-bil dan sebagainya. Kini, mereka dibebankan lagi dengan kenaikan harga minyak. Ini sudah pasti menambahkan masalah kepada mereka.

Kesimpulannya, kenaikan harga minyak ini banyak memberikan kesan negatif dan membebankan rakyat Malaysia.